Jumaat, 7 Januari 2022

Cerpen #1 : Bila Sampai Masa. Bab 01 Sri Kumbang

" Med, kau nak gi mana !! " Zali berteriak pada Hamid yang tergesa-gesa keluar.

" PJ.." sahut Hamid dari parking motornya sambil tersengih-sengih melihat Zali kebingungan.

"Ada apa PJ ! ? " 

" Nanti malam aku cerita.. " Dia terus menyarung helmet, menyetat motornya dan menghilang di celah-celah lalu-lintas yang keluar masuk kawasan flat itu.

"Ada apa kat PJ ? " soalannya ditujukan pula pada Shahrul yang masih duduk di meja restoran Pak Mahli. Zali duduk bertentangan dengan Shahrul, mengisi kerusi yang dikosongkan Hamid. 

" Entah, dengan aku pun dia tak cakap.. " jawab Shahrul sambil menghirup teh tariknya yang sudah tinggal setengah. Dia duduk tersandar sambil menonton kanak-kanak bermain di taman permainan kecil perumahan itu. Pagi hari Ahad suasana di sekitar Flat Sri Kumbang memang riuh rendah, semua ibu-bapa tidak bekerja, semua anak-anak tidak bersekolah.

" Minum apa, bang ? " 

" Nescafe-O nipis, macam Teh-O " balas Zali.

Anak gadis Pak Mahli bergegas menuju ke dapur. Shahrul memerhati sekilas-pandang punggung Nisa yang melingguk-lingguk.

" Dah besar dah anak Pak Mahli ni.. " keluh Shahrul dengar tak dengar. 

" Itu menunjukkan kita ni dah tua, Rol, dah dekat sepuluh tahun duduk sini, tengok orang berubah, kecik sampai besar, kedai Pak Mahli ni, dari warung sampai restoran, kita ni aje yang tak berubah.." bentak Zali dengan nada lucu tapi ayatnya penuh sindiran.

Sejak kebelakangan ini, percakapan Zali kepada Sharul banyak berbentuk sindiran dan bersuara tinggi. Sejak "projek" yang mereka bertiga buat menemui kegagalan, Zali sudah kurang mesra. Di wajahnya sentiasa tergambar kekesalan. Shahrul menyedari hal tersebut namun dia hanya buat bodoh. Kegagalan projek itu adalah kegagalan bersama, kerana kurang pengalaman. Shahrul dan Hamid menerima kegagalan itu dengan hati terbuka, namun tidak bagi Zali, dia menyesal walaupun idea asal projek itu adalah idea dia sendiri.

 Sudah 9 tahun Shahrul, Zali dan Hamid menyewa di flat Sri Kumbang ini. Mereka bertiga sudah faham benar perangai setiap dari mereka itu. Bagi Shahrul dan Hamid, Zali memang emosional dalam semua hal. Namun sejak sebulan yang lalu, wujud satu fenomena yang berjaya mengubah perangai Zali menjadi ceria dan bersemangat, sekurang-kurangnya untuk hari itu.

" Zali !.."

Zali merenung tajam buat kali kedua kepada Shahrul, dengan harapan renungan itu dapat menambah kesakitan dari ayat tajamnya tadi. Tapi Shahrul tidak memandangnya. Sebaliknya matanya merenung jauh ke hujung koridor.

" Zaidah datang.. " kata Shahrul hampir-hampir berbisik.

Wajah Zali tiba-tiba bercahaya. Dia tidak terus menoleh, sebaliknya dia menegakkan duduknya, cepat-cepat menyikat rambutnya dengan jari dan meneguk air liur untuk melancarkan kerongkongnya, mana tau kalau-kalau dia perlu bersuara. Dia menoleh hanya sekilas ke arah pandangan Shahrul. Dengan sekilas pandang itu dia dapat melihat Zaidah berbaju kurung biru muda berjalan dengan anggun menghampiri restoran itu. Zali menarik nafas panjang.

Melihat Zaidah semakin hampir, Shahrul menyambut dengan senyuman. Zaidah membalas senyuman dan memberi salam.

" Assalammualaikum... " suaranya yang lunak gemersik dan berirama itu serta-merta menghentikan riuh restoran itu. Semua mata tertumpu kepadanya. 

" Waalaikumsalam.. " hampir semua yang ada dalam restoran itu menyahut salamnya beramai-ramai. Zaidah sedikit tersipu-sipu, namun senyumannya menjadi bertambah ayu. Sekali lagi Zali melirikkan pandangannya ke arah Zaidah yang melintasi di sisinya. Aroma nipis yang dibawanya menerkam ke hidung Zali. Terasa darah gemuruh menyimbah di dalam dadanya. Bau keharuman dan kelembutan yang samar-samar itu sungguh mengasyikkan perasaan Zali. Hampir saja dia menutup mata menghayatinya. 

" Amboi cantiknya, awak nak gi mana hari ni ? " Kak Midah menyapa dari dapur. Zaidah tergelak kecil.

" Nak gi Kajang Kak, ada jemputan kenduri kahwin " Zaidah berhenti di kaunter dan mengambil beberapa biji gula-gula angin.

" Kau tak boleh pakai terlebih cantik macam ni Zaidah, nanti orang ingat kau pengantin... " tiba-tiba 
Pak Mahli mencelah dari balik kaunter sambil tergelak berdekah-dekah. Gelaknya berjangkit kepada semua pengunjung restoran itu.

" Ehh.. apalah Pak Mahli ni, takkan nak pakai serabai aje pergi kenduri " jawab Zaidah.

" Awak jangan dengar cakap Pak Mahli tu Zaidah, dia memang suka cakap merapik " balas Kak Midah.

" Awak kalau pakai serabai pun awak tetap cantik Zaidah... " Zali hanya bercakap dalam hati. S
ejak dia sampai Zali sudah memerhati gerak-geri Zaidah bersembang dengan Kak Midah dan Pak Mahli. Liuk-lingguk Zaidah bercakap, ketawa dan pergerakannya sungguh sempurna pada pandangan Zali. Sepanjang dia berada di Kuala Lumpur, dia sudah melihat ramai gadis-gadis cantik, tapi bagi Zali, Zaidah mengatasi mereka semua.

Ada sesuatu tentang Zaidah yang bermain-main dengan perasaannya.

Bab 02





Tiada ulasan: